MAJLIS MEMETERAI PERJANJIAN SARE PROJEK SISTEM SOLAR UPNM

13 JANUARI 2026 | Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar satu lagi pencapaian strategik apabila menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu bagi pelaksanaan Projek Sistem Tenaga Solar di kampus UPNM. Pelaksanaan inisiatif ini dijangka mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik universiti sehingga kira-kira RM1.3 juta setahun.
Majlis pemeteraian perjanjian tersebut melibatkan kerjasama antara UPNM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Synergy Generated Sdn. Bhd., yang merangkumi pembangunan sistem solar di beberapa lokasi terpilih dalam kampus untuk tempoh operasi selama 21 tahun.
Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Hj Ahmad memaklumkan bahawa pelaksanaan projek ini bukan sahaja menyumbang kepada kecekapan kos dan kelestarian operasi universiti, malah selari dengan hala tuju Pelan Strategik UPNM30 serta menyokong agenda keselamatan tenaga negara.
Selain manfaat penjimatan, projek ini turut membuka ruang kepada pembangunan penyelidikan dan inovasi melalui penyediaan dana penyelidikan tahunan, peluang latihan industri kepada pelajar serta pendedahan teknologi tenaga boleh baharu kepada warga universiti. UPNM optimis inisiatif ini mampu menjadi penanda aras kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam usaha mengimbangi aspek ekonomi, kelestarian dan pembangunan modal insan.


